Monday, January 20, 2014

(RG) -Take 5 : Aku Bukan Cipan!!!

Apa khabar semua.... hari ni kita santai sikit. Tak mau cerita keadaan semasa but commercial break kita kali ini, saya nak share about satu novel ni yang akan diterbitkan. Kenapa saya pilih novel ni? Mmmm.... sekejap ye. Nanti baca dekat bawah ni.

**************
Novel ini bertajuk AKU BUKAN CIPAN - nukilan dari penulis lelaki Encik Harith Hakeem.

Penulis yang berasal dari Johor ini telah menyimpan karyanya selama 10 tahun sebelum diterbitkan.

Cerita ni banyak memaparkan kisah hidup masyarakat di sekeliling kita. Bukan fantasi tetapi realiti. Ada masa kita gembira, bersedih, ketawa dan perlukan hiburan disamping mendekatkan diri kepada Allah. Semua ramuan-ramuan dan rencah kehidupan digarapkan dengan seimbangnya di dalam novel ini ;) Di sini saya sharekan sedikit dari bab 1 dan bab 2.

Saya harap semua pembaca dapat membaca cerita ini dengan hati terbuka kerana dengan ini baru kita dapat menyelami apa yang hendak disampaikan oleh Penulis.  Cerita ini sangat unik. Untuk diri saya yang serba kekurangan ini, ia dapat menyedarkan saya untuk insaf towards other people life and bersyukur dengan apa yang kita ada. Terima kasih Encik Harith kerana berkongsi karya anda bersama kami. Best of luck to you. SELAMAT MENYELAMI DUNIA AMIT ;)

Anda boleh baca selebihnya dari Bab 1 hingga Bab 19 di penulisan2u sementara menunggu cetakan diterbitkan.


http://www.penulisan2u.my/tag/harith-hakeem/


*****************
Part of Bab 1


Aku tidak sempurna. Aku juga manusia biasa yang punya hati dan perasaan. Aku tidak pernah minta dilayan seperti putera raja. Cukuplah sekadar menerima kehadiranku sebagai manusia biasa. Aku bukan cipan! 1990. Pasar ikan! Itulah perkataan yang paling tepat bagi sesiapa sahaja yang melintas ataupun masuk ke kelas 5 Sastera 3 ini. Ia bukanlah sesuatu yang asing atau menghairankan. Membuat bising bagai sudah menjadi satu kemestian para pelajarnya untuk mengisi masa lapang sementara menunggu giliran guru seterusnya mengambil alih kelas.

Walaupun hanya 2 minit, masa sebegitu tidak akan dipersia-siakan begitu sahaja. Tidak hairanlah jika sikap ‘mencuri masa' pelajar kelas ini menjadi buah mulut atau bahan umpatan guru-guru di Sekolah Menengah Jalan Batu Pahat ini. Pelbagai cara sudah digunapakai. Nasihat, amaran waima hukuman sekalipun tidak akan memberi kesan dan mematahkan semangat mereka untuk menjadikan kelas mereka disegani.  Amit masih terangguk-angguk seorang diri ditemani sebuah walkman. Seperti selalu, lagu rock yang sudah berulang kali didengar masih setia menjadi halwa telinganya. Mulutnya terkumat-kumat mengikut lirik lagu sambil matanya liar memerhatikan rakan sekelilingnya. Tiba-tiba, matanya terhenti di satu dudut belakang kelasnya. Parjo yang pernah menjadi rakan karibnya suatu ketika dahulu sedang berlawan gusti lengan dengan Kasiban. Amit tersenyum sendiri melihat telatah Parjo dan Kasiban bermati-matian dalam sperlawanan ini. Walaupun tiada seorang pun penonton, ia tidak mematahkan semangat juang mereka. Sempat lagi Parjo menyanyi-nyanyi kecil. Mungkin sebagai satu sindiran untuk Kasiban yang hampir kalah dalam pertarungan.  Siapa tidak kenal Parjo. Pelajar yang disenaraihitamkan pihak sekolah di atas masalah disiplinnya. Ponteng kelas, cabut sekolah, menghisap rokok dan membuli pelajar adalah antara senarai-senarai rutin harian di sekolah.   Gambaran masa silam tiba-tiba tepampang di minda Amit. Bagaimana akrabnya dia dan Parjo berganding bahu menetang disiplin di sekolah. Rotan guru disiplin pun sudah hampir lunyai untuk membentuk sikap mereka. Pernah mereka ditangkap kerana ponteng kelas dengan bersembunyi di atas loteng kelas. Tetapi nasib tidak menyebelahi mereka apabila perbuatan mereka disedari seorang pengawas. Sebagai balasan, rotanlah yang menjadi hidangan punggung mereka. Tetapi yang peliknya, mereka masih mampu tersenyum walaupun menerima tiga sebatan sekaligus. Terjal betul!  "Berita terkini, hiburan sensasi! Sekejap lagi cikgu sampai!" pekik Ajis, ketua tingakatan memberi amaran membuat khayalan Amit terhenti tiba-tiba. Semua pelajar kelam-kabut mencari tempat masing-masing. Lebih-lebih lagi Ajis, seorang ketua tingkatan yang sering berkompromi dengan anak-anak buahnya membuat bising.   Cikgu Hamidon, guru bahasa Melayu melangkah masuk sambil matanya melilau memandang kesemua pelajarnya. Keningnya berkerut dan dapat dilihat mulutnya mengomel perlahan. Dialah antara guru yang menjadi kesayangan para pelajar kerana sikapnya yang suka melawak. Ditambah lagi dengan keadaan tubuhnya yang gemuk dan boroi berkepala botak dan menyimpan misai ala chaplin menyerlahkan lagi ketrampilannya persis seorang pelawak.

Di belakangnya, seorang gadis asing membontoti langkahnya. Langkah si gadis diatur kemas. Sesekali ekor matanya mencuri pandang ke arah para pelajar. "Dari jauh lagi saya dengar suara kamu. Tapi yang peliknya, bila sampai depan pintu, sunyi sepi kelas. Semua tengah baca buku. Bagus! Lepas ni saya nak soal!" cikgu Hamidon seakan menakutkan pelajarnya. Dia hampir saja ketawa melihatkan semua pelajar agak terperanjat tetapi ketawa dapat dilindungi dengan sedikit batuk yang dibuat-buat.   "Baiklah! Ini adalah pelajar baru kelas kita," sambung cikgu Hamidon. Semua pelajar memandang tepat ke arah si gadis ayu di hadapan kelas itu. Memang sempurna. Pipinya gebu. Bermata redup. Keningnya sedikit tebal tetapi agak tersusun. Dan yang paling menarik, bibirnya yang kecil. Si gadis seakan tidak selesa dengan keadaan ini.

Serba tak kena dibuatnya. Beg yang digalas di bahu kiri, diubah pula ke bahu kanan. Parjo mengeluarkan sikat dari kocek bajunya dan menyisir perlahan rambutnya yang kerinting. Disisirkan sikatnya perlahan-lahan ke belakang. Lurus pula rambutnya dilihat ketika disisirkan. Parjo kelihatan lebih segak dengan rambut seperti itu. Tetapi kehenseman itu tidak kekal. Rambutnya kembali kembang seperti sedia-kala tatkala sikat itu sampai ke hujung rambutnya. Rambutnya kini tak ubah seperti sarang tebuan!





*******
Part of Bab 2


Zakiah mengerutkan kening sambil mencerunkan matanya. Marah juga dengan soalan bangang Shima tadi.   "Kesian Shima tengok dia tu. Kat kelas pun diam je," sambung Shima.   "Orang macam tu jangan bagi kesian. Kalau kita kawan, silap-silap kita pulak yang jadi tak betul!" Zakiah menambah.   "Tak baik kau cakap macam tu. Bagi dia peluang kedua!"   "Takdenye peluang kedua. Entah-entah dia pun ada AIDS agaknya. Geli-geleman aku!"Zakiah membalas sambil mulutnya dimuncungkan ke depan. Shima menjeling ke arah Zakiah. Dari sisi tepi, dengan tahap kemuncungan yang maksimum, wajah Zakiah seolah-olah berubah seratus peratus. Wajahnya kini lebih mirip wajah Donald Duck. Wakaka. Shima tertawa di dalam hati. "Habis tu, dia tinggal dengan siapa?" Shima semakin berminat dengan cerita Zakiah.   "Manalah aku tahu. Entah kat mana dia merempat. Nak terlingkup ke, terlentang ke, tertonggeng ke, peduli hapa aku!"Zakiah mengomel dengan suara yang agak meninggi. Memang layaklah dia dengan gelaran Kiah Becok yang disandangnya.   Budak jahat. Kemudian dipinggirkan. Kesunyian, keseorangan. Berubah menjadi pendiam. Pantas betul roda kehidupan berputar. Terpalit rasa kasihan di hati Shima. Dapatkah Amit memikul bebanan ini sementara rakan sebayanya menikmati keindahan dunia remaja mereka. Masihkah ada jalan bahagia untuknya atau terus-terusan diuji sebegini.   "Aku boleh, kenapa tidak dia!"Shima memujuk hatinya.   "Saudariku Shima. Yang kau tenung budak tu lama-lama apasal? Entah-entah kau dah jatuh cinta dengan dia eh? Eee... Selisih!" sindir Zakiah yang rupanya dari tadi memerhatikan tingkah-lakunya.   "Kau ni dah buta ke Shima? Tak tahu menilai kaca dan permata!"sambung Zakiah.   "Kaca pun berguna juga Kiah. Kita je yang membezakan letak duduknya," balas Shima sambil tersenyum tawar. Sedikit kesal dengan pemikiran cetek kawan barunya itu. Hanya tahu menghukum mengikut persepsi sendiri.   "Malaslah aku layan kau. Jom masuk kelas. Kejap lagi waktu rehat dah nak habis,"ajak Zakiah.  

SELAMAT MEMBACA SEMUA..... PEACE NO WAR ;)

2 comments:

  1. Hahaha.... Thanx coz sudi share di blog awak....hehe karya sy untuk emua pembaca yg sudi... ;)

    ReplyDelete
  2. You are welcome Mr. Good writings for good readers. Good luck.

    ReplyDelete